Monday 27 August 2012

Liverpool pinjam Nuri Sahin dari Real Madrid...dan Luka Modric ke Real Madrid

Nuri Sahin, pemain kebangsaan Turki kelahiran Jerman, bergambar dengan jersi baru bernombor 4 yang ditinggalkan legenda, Sami Hyypia. 
Nuri Kazim Sahin telah melengkapkan perpindahan ke kelab Inggeris Liverpool melalui pinjaman dari kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid, setelah Arsenal menamatkan minat mereka terhadap pemain itu. Antara sebab pembatalan hasrat Arsenal adalah kerana tiada persetujuan antara pihak Arsenal dan Real Madrid mengenai yuran "option-to-buy" pada akhir musim berjumlah 14mil pound sterling. Selain itu, Liverpool juga menawarkan bahagian bayaran lebih kepada gaji mingguan Sahin yang berjumlah 115 ribu pound sterling.

Nuri Sahin juga menegaskan bahawa pemain tengah Real Madrid yang juga merupakan bekas wira Liverpool, Xabi Alonso, merupakan individu penting yang mempengaruhi keputusan menyertai kelab gergasi Eropah, Liverpool. Sahin juga menceritakan bahawa beliau adalah seorang yang berada di dalam Stadium Ataturk ketika Liverpool membenam AC Milan seterusnya menjuarai Liga Juara-juara Eropah pada tahun 2005.

Jose Mourinho, bos Real Madrid, juga antara individu yang merealisasikan perpindahan pinjaman ini. Beliau memberikan lampu hijau kepada Sahin untuk bekerja di bawah pimpinan Brendan Rodgers. Jose Mourinho yang pernah bekerja bersama-sama Brendan Rodgers ketika di Chelsea menyifatkan Brendan Rodgers sebagai pengurus yang akan membawa kejayaan kepada Liverpool, dan Nuri Sahin mampu bersinar di bawah pimpinannya. 
Fakta menarik: Sahin adalah penjaring termuda Turki pada ketika ini, dan jaringan itu dilakukan ketika Turki menentang negara kelahirannya, Jerman.
Nuri Sahin, 23, bermain dengan cemerlang ketika di Dortmund sebagai pemain tengah dan juga kadang kala sebagai pemain penyerang tengah (attacking midfielder). Dalam pasukan senior Dortmund, beliau beraksi sebanyak 135 perlawanan di mana beliau juga menjaringkan 13 gol dari bahagian tengah. Sebelum berhijrah ke Real Madrid, beliau juga pernah dipinjamkan kepada kelab Belanda, Feyenoord selama sepenggal di mana dia menjaringkan 6 gol dari 29 perlawanan. 

Sahin dikatakan memiliki kemahiran menyerang dan mengawal barisan tengah dengan cemerlang, dan mampu membantu pasukan yang disertainya untuk beraksi cemerlang. Brendan Rodgers dan penyokong Liverpool semestinya mengharapkan sesuatu dihasilkan oleh pemain ini dalam musim 2012-2013 kali ini. 
_____________________________________________________________________
Perpindahan Luka Modric ke Real Madrid

Sementara itu, Real Madrid meneruskan usaha mendapatkan tambahan pemain tengah dengan pembelian Luka Modric. Perpindahan ini melibatkan jumlah wang yang tinggi iaitu 33mil pound sterling. Adakah kemungkinan Nuri Sahin akan terus menyarung jersi Liverpool pada tahun depan, memandangkan lambakan pemain tengah berpengaruh di Real Madrid? 



No comments:

Post a Comment